JELAJAH Malaysia edisi ke-54 (JM54) dijangka terus menarik lebih banyak pasukan mengambil bahagian sebelum tarikh tutup 5 Februari depan.

Pengarah Acara JM54, Jamaluddin Mahmood berkata, setakat ini, 24 pasukan sudah mengesahkan penyertaan sekali gus menjadi rekod baharu pembabitan pasukan terbanyak sepanjang sejarah penganjuran.

Beliau berkata, antara faktor banyak pasukan menyertai edosi ke-54 ini adalah perburuan mata ke Sukan Olimpik Paris.

“Penyertaan terbanyak sebelum ini adalah 18 pasukan pada edisi terakhir 2017, tapi kali kita menerima 24 pasukan membabitkan 120 pelumba, satu sejarah baharu.

“Kita yakin, penyertaan ini tinggi disebabkan pelumba mahu memungut mata ranking yang menjadi kelayakan ke Olimpik Paris,” kata Jamaluddin, dalam sidang media di Desa Melawati.

Pengarah Acara, Jamaluddin Mahmood (kanan) menjelaskan laluan yang akan terlibat di setiap peringjkat Jelajah Malaysa 54.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, pihaknya sudah memastikan laluan lima peringkat JM54 tidak akan terjejas kerana masalah banjir.

Katanya, pelbagai faktor sudah diambil dan sekiranya banjir berlaku banjir pada jelajah kali ini, pihaknya sudah mempunyai pelan sokongan dengan menyediakan laluan alternatif bagi memastikan perlumbaan itu dapat dijalankan lancar seperti yang dirancangkan.

“Kita sudah buat tinjauan, mungkin ada beberapa tempat yang terkesan (banjir). Bagaimanapun perlumbaan ini dibuat luar musim hujan dan 80 peratus selamat dari banjir.

“Sebenarnya kita sudah mempunyai pelan sokongan sekiranya perkara itu berlaku. Kita sudah ada laluan alternatif.

“Kita juga pernah berdepan situasi seperti ini semasa Le Tour De Langkawi 2010 yang mana kami sudah siapkan laluan alternatif. Jadi kami harap perlumbaan ini akan lancar tanpa sebarang musibah dan sebagainya.”

Untuk rekod, kejohanan siri jelajah lebuhraya kelas klasifikasi 2.2 oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan membuka tirainya pada 26 Februari ini bermula di bandar Melaka dan berakhir di Meru Raya, Ipoh pada 2 Mac 2023.

Lima peringkat perlumbaan bermula dengan peringkat pertama sejauh 161.96 km dari Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka dan berakhir di Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi.

Peringkat Kedua pula bermula di Taipan 2, Setia Alam dan akan berakhir di CBD Perdana 2 bandar teknologi Cyberjaya dengan jarak perlumbaan 149.98 km.

Dataran Kemerdekaan, Shah Alam menjadi destinasi permulaan seterusnya bagi perlumbaan Peringkat Ketiga sejauh 154.30 km yang berakhir Menara Condong di Teluk Intan, Perak.

Peringkat Empat pula akan bermula di Kompleks Pelancongan, Bagan Datuk bakal menyaksikan para pelumba mengharungi laluan pendakian bermula di Tapah, Ringlet dan berakhir di Tanah Rata, Cameron Highlands dengan jarak 139.69 km.

Peringkat Kelima bermula di Dewan Merdeka, Tapah dan berakhir di Meru Raya, Ipoh dengan jarak 122.52 km. Kesemua pelumba bakal mengharungi jumlah jarak perlumbaan sejauh 728.45 km.

“Walaupun terdapat laluan pendakian diperingkat Keempat, laluan JM54 kali ini adalah perlumbaan yang laju, teknikal dan sangat sesuai terutama kepada para jaguh pecut. la pasti menarik untuk ditonton oleh peminat sukan berbasikal,” ujar Jamaluddin lagi.

Kredit: flashsukan.com.my – Posted by MOHD HILMIE HUSSIN | Jan 27, 2023 | Ekstra Flash